Yakinlah Aku Tetap Milikmu 12

Malam itu langit kelam. Sarah masih bungkam diselubungi kesedihan. Nafas terasa sesak di dada. Aliran darah yang menyelirat dirasa menghenyak-henyak kitaran pernafasannya. Sarah memejam mata.

Seketika anak gadis itu tersenyum. Lirikan, usikan serta senyuman Rudi benar-benar mencengkam kalbu. Jejaka itu hadir di dalam hidupnya di saat dia benar-benar memerlukan seorang insan sebagai panduannya ke arah jalan akhirat. Sarah menarik nafas panjang.

Tinggal 3 hari sahaja lagi, keluarga Rudi bakal mengadakan majlis kenduri doa selamat. Ramai anak-anak murid ibu Rudi yang berjaya khatam Al-Quran tahun ini. Majlis ini diadakan khusus untuk meraikan mereka semua. Sarah awal-awal lagi berjanji untuk ke sana. Namun, di saat-saat akhir, ibunya melarangnya untuk ke rumah Rudi. Sebagai seorang wanita, sememangnya kurang manis baginya untuk bertandang ke rumah lelaki sedangkan mereka berdua masih lagi bukan mahram dan pemergian Sarah pasti sahaja bakal mengundang buah mulut segelintir pihak. Sarah akur.

Malam itu sekali lagi dia menangis. Teresak-esak semahu-mahunya. Hendak diikutkan hati, mahu sahaja dia pergi ke rumah Rudi, namun atas nasihat daripada keluarga, Sarah dapat menerima.

Klang, Selangor.

Rudi masih bersendirian. Jauh di sudut hatinya, mengharapkan agar insan yang amat disayanginya dapat berada di sisinya. Ketaatan Sarah pada perintah keluarganya benar-benar membuatkan Rudi sedar akan tanggungjawab gadis itu terhadap kedua-dua orang tuanya. Sarah sememangnya amat patuh kepada setiap didikan dan suruhan kedua-dua ibu bapanya. Dan atas sebab itulah, Rudi amat tertarik pada kesopanan dan kelembutan Sarah Zulaikha.

Bersambung…

Leave a Reply